THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, December 29, 2008

Apa Dan Kenapa Wahabi?

Apa Dan Kenapa Wahabi?
Saya biasa ditanya, apakah fahaman Wahabi. Jawapan saya mudah sahaja: Ia adalah pemikiran dan amalan Islam yang berdasarkan dalil dan hujah yang berbeza dengan kebiasaan pemikiran dan amalan masyarakat Malaysia. Soalan seterusnya, kenapa fahaman Wahabi secara meluas mendapat tempat di kalangan umat Islam? Terdapat beberapa jawapan bagi persoalan ini:
Pertama: Fahaman ini memandang Islam sebagai suatu agama yang berdasarkan ilmu. Oleh itu ia tidak membicarakan Islam melainkan dengan metodologi ilmiah yang tinggi lagi berdisiplin. Fahaman ini menolak bicara Islam yang berdasarkan mitos, khayalan, cerita-cerita dongeng dan apa-apa yang seumpama. Dalam suasana umat Islam yang semakin meningkat kedudukan mereka dari sudut ilmu, mereka mula beralih kepada Islam yang berdasarkan ilmu, yakni dalil dan hujah.
Kedua: Fahaman ini meningkatkan lagi penghayatan umat Islam terhadap agama Islam. Jika sebelum ini umat hanya mengenal Islam berdasarkan hafalan "fardhu ain", kini umat mula mengenal Islam berdasarkan dalil dan hujah. Umat Islam mula mengenal kenapa mereka beribadah dengan tatacara sekian-sekian, hikmah di sebalik sesuatu ibadah, tujuan di sebalik sesuatu hukum dan objektif yang ingin dicapai oleh syari'at kepada manusia.
Ketiga: Fahaman ini memberi penekanan kepada usaha tajdid, iaitu usaha membersihkan agama Islam dari pelbagai pencemaran sehingga ia kembali tulen. Ketulenan ini adalah sesuatu yang benar-benar asing kepada masyarakat sehingga mereka menganggap ia adalah sesuatu yang baru, sekali pun ia sebenarnya sudah wujud sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Usaha tajdid memberi nafas yang baru kepada umat Islam. Mereka mula melihat keindahan, kemudahan dan kesyumulan Islam sebagaimana yang dilihat oleh generasi pertama yang menerimanya secara tulen daripada Rasulullah s.a.w..
Keempat: Fahaman ini menyentuh isu-isu terkini lagi relevan dengan suasana umat Islam. Sebagai contoh, apabila fahaman yang lain masih memberi perhatian kepada hukum berwudhu' dengan air perigi, fahaman ini memberi perhatian kepada hukum berwudhu' dalam kapalterbang. Apabila fahaman lain memberi perhatian kepada cara berzikir di atas pokok, fahaman ini memberi perhatian kepada cara beribadah di atas kenderaan moden seperti LRT, Monorail, Komuter dan sebagainya. Oleh itu tidak asing juga apabila didapati antara yang kehadapan dalam menangani isu-isu liberalisme, pluralisme, feminisme dan athiesisme adalah tokoh-tokoh yang disandarkan kepada fahaman ini.
[b]Kelima[/b]: Fahaman ini tidak membataskan ahli-ahlinya kepada jamaah tertentu. Tidak ada sistem mendaftar keahlian, berbai'ah kepada amir, perlantikan ahli jawatan kuasa tahunan dan lain-lain yang biasa ditemui dalam jamaah-jamaah Islam. Seseorang itu boleh sahaja mengikuti fahaman ini dan pada waktu yang sama terus bergiat aktif dengan jamaah yang dianggotainya. Hanya saja fahaman ini mengingatkan umat Islam agar membetulkan tujuan mereka bergiat aktif di dalam sesuatu jamaah. Hendaklah tujuan tersebut demi kebaikan Islam dan umatnya, bukan demi memelihara maruah jamaah dan menjaga kedudukannya sebagai yang terbaik berbanding jamaah-jamaah yang lain.
Di Mana Salahnya Dengan Fahaman Wahabi?
Secara umum, tidak ada yang salah dengan fahaman Wahabi kecuali namanya. Memang, ada segelintir orang yang mengikuti fahaman ini dengan semangat yang mendahului ilmu dan kematangan sehingga mereka berlebih-lebihan dalam mengkritik dan mencela. Namun tindakan segelintir tidak boleh dijadikan hujah untuk menghitamkan keseluruhan fahaman ini dan majoriti yang mengikutinya berdasarkan ilmu dan kematangan.
Fahaman Wahabi bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam atau terkeluar dari Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Malah ia lebih mendekati Islam yang sebenar dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang tulen. Terkecuali adalah nama "Wahabi" yang disandarkan kepada fahaman ini, ia adalah nama yang sengaja digunakan oleh sebahagian agamawan sebagai senjata untuk menakutkan orang ramai dan menjauhkan mereka daripada fahaman yang murni ini.
Kenapakah perlu ditakut dan dijauhkan orang ramai daripada fahaman ini? Paling kurang ada dua sebab utama:
Sebab Pertama: Apabila fahaman ini membicarakan Islam berdasarkan metodologi ilmiah, akan terbongkar kesilapan, kedongengan dan kepalsuan apa yang selama ini disampaikan oleh para agamawan tersebut. Dalam menghadapi suasana ini, para agamawan terbahagi kepada dua kategori: Pertama adalah mereka yang bekerjaya dalam jurusan agama berdasarkan sikap jujur lagi amanah. Mereka membetulkan apa yang pernah disampaikan sebelum ini seandainya ia sememangnya tidak tepat. Kedua adalah mereka yang bekerjaya dalam jurusan agama kerana maruah dan status. Mereka sukar untuk mengakui bahawa apa yang mereka sampaikan sebelum ini adalah tidak tepat. Maka mereka mencari helah untuk menakutkan orang ramai dan menjauhkan mereka dari kebenaran tersebut. Helah tersebut adalah: "Berhati-hatilah dengan fahaman Wahabi kerana ia terkeluar dari Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah……"
Sebab Kedua: Fahaman ini benar-benar mendapat sambutan daripada umat Islam sehingga kuliah-kuliah pimpinan tokohnya dibanjiri oleh hadirin daripada pelbagai latarbelakang. Suasana ini bertolak belakang dengan kuliah-kuliah pimpinan para agamawan yang semakin lengang sehingga akhirnya ia dibatalkan oleh pihak penganjur. Dalam menghadapi suasana ini, sekali lagi para agamawan terbahagi kepada dua kategori: Pertama adalah mereka yang memiliki sikap yang positif dimana dengan sikap tersebut mereka berusaha untuk mempertingkatkan mutu kuliah yang disampaikan, selari dengan kehendak para hadirin. Kedua adalah mereka yang memiliki sikap yang negatif dimana mereka enggan mempertingkatkan mutu kuliah yang disampaikan. Pada waktu yang sama mereka tidak boleh berdiam diri kerana semua ini melibatkan sumber pendapatan mereka. Dengan berkurangnya jemputan, berkuranglah juga pendapatan. Maka mereka perlu mencari helah untuk menjanakan kembali sumber pendapatan dengan berkata: "Berhati-hatilah dengan kuliah orang-orang Wahabi, mereka itu ditaja oleh pihak Barat…
Akhir kata
Kepada mereka yang belum kenal fahaman Wahabi atau selama ini telah diperdaya dengan helah memburuk-burukkan fahaman Wahabi, maka sudah masanya anda bersikap adil kepada diri anda sendiri dan melakukan anjakan paradigma untuk mula mengkaji dan mengenalnya. Anda tidak perlu menggelar diri anda: "Saya seorang Wahabi", tetapi bersiap-sedialah digelar "Wahabi" semata-mata kerana pemikiran dan amalan anda yang berdasarkan dalil dan hujah sudah berbeza dengan kebiasaan pemikiran dan amalan masyarakat.
Kepada mereka yang menakut-nakutkan orang ramai daripada fahaman Wahabi, ketahuilah bahawa anda sebenarnya menghalang orang ramai daripada jalan Allah dan menjadikan jalan tersebut seolah-olah bengkok lagi sesat. Orang seperti anda telah disentuh oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim! (Iaitu) orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan Hari Akhirat. Mereka itu tidak akan dapat melemahkan kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka dengan azab di dunia, dan tidak ada pula bagi mereka yang lain dari Allah sesiapapun yang dapat menolong melepaskan mereka dari seksa-Nya. Azab untuk mereka akan digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan Allah), sehingga mereka tidak tahan mendengarnya dan tidak pula suka melihat tanda-tanda kebenarannya. Merekalah orang-orang yang merugikan diri sendiri dan hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan. Tidak syak lagi, bahawa sesungguhnya merekalah yang paling rugi pada Hari Akhirat kelak."
[Hud 11, ayat 18-22]
WaAllahualam..