THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, September 14, 2008

KEPENTINGAN ILMU USUL AL-FIQH

1. Seseorang mujtahid yang mempelajari ilmu ini akan dapat menggunakan semua kaedah-kaedah dan instrumen yang dimiliki untuk mendapatkan pengajaran tentang hukum-hukum syariat daripada nas-nas. Apabila cukup syarat keilmuan untuk melakukan ijtihad, seseorang itu akan dapat memahami nas-nas yang jelas atau yang samar bahkan dapat pula mengekstrak hukum yang terkandung dalam nas tersebut dengan kaedah yang difahami daripada Usul al-Fiqh seperti kaedah linguistik dalam memahami hukum, kaedah-kaedah umum penerbitan hukum dan sebagainya.

2. Bagi mereka yang tidak mencapai tahap seorang mujtahid pula, ilmu Usul Fiqh akan dapat membantu mereka dalam memahami bagaimana sesuatu hukum syariah itu boleh terbit daripada nas-nas syarak. Dengan ini, seseorang itu akan dapat lebih memahami maqasid syariah yang terkandung di sebalik hukum yang ditetapkan Allah bahkan dapat mengelakkan daripada bersikap mengikut secara membuta tuli (taqlid) dalam mengamalkan syariat.

3. Beberapa aspek teknikal dalam ilmu Usul Fiqh seperti Qiyas (analogical deduction), kaedah linguistik asas atau al-qa’idah al-lughawiyyah al-Usuliyyah seperti al-Dalalat (textual Implication), Istihsan (Equity), Istishab (presumption of continuity), percanggahan nas dan penyelarasan atau al-Ta’arudh wa al-Tarjih (Conflict of Evidence and Reconciliation), kaedah pemansuhan atau Nasakh (abrogation) menjadikan ilmu usul fiqh bukan sahaja sebagai metod penyelidikan yang komprehensif dalam bidang penyelidikan perundangan Islam, akan tetapi sesuai juga digunakan untuk penyelidikan lain selain daripada hukum Islam seperti perundangan sivil, penyelidikan pemasaran, penyelidikan ilmiah dan sebagainya. Proses Takhrij al-Manat (Extracting the ‘Illah) dalam bab Qiyas pula dapat memberikan satu metod berfikir yang tepat dan objektif dalam mencari sebab bagi sesuatu perkara.

4. Hasil gabungan daripada aspek-aspek di atas menjadikan ‘ilmu Usul Fiqh sebagai Ilmu yang terhad kepada sumber-sumber dan dalil-dalil perundangan sahaja, bahkan lebih jauh dari itu ia merangkumi bidang akidah, logik, morfologi, epistemologi dan kebudayaan. Justeru itu, Imam al-Ghazali menyifatkan Usul Fiqh adalah ilmu yang menduduki hierarki ilmu yang paling berprestij kerana integrasi yang mantap berlaku antara dalil nas atau naqli dan penggunaan akal.